Pembuka Kata

Pembuka Kata

Sunday, January 9, 2011

Rangsang Minda Kreatif Kanak-kanak

Oleh : Wan Adlina Wan Ab. Aziz
Pada umumnya, perkembangan dan pembesaran kanak-kanak peringkat umur bawah empat tahun memerlukan pengasuhan yang sempurna dan teratur. Ketika di usia itulah, minda kanak-kanak tersebut perlu
dirangsang dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana perkembangan minda yang positif dan kreatif. Bidang pengasuhan kanak-kanak di TASKA memerlukankaedah dan teknik yang bersistematik dalam usaha melahirkan kumpulan generasi baru yang kreatif. Mereka perlu dilatih untuk menonjolkan diri dalam mengetengahkan hasil kreativiti mengikut keupayaan minda serta kebebasan mereka berfikir. Perasaan ingin tahu yang mendalam sudah sedia maklum wujud dalam diri kanak-kanak di peringkat usia berkenaan. Justeru, galakan dan sokongan padu perlu diberi kepada kanak-kanak ini untuk menonjolkan bakat dan kreativiti masing-masing.
Ini terbukti melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Penceramah ‘Bengkel Kemahiran Pengasuh TASKA – Seni dan Kreatif’, Puan Paulin George yang mengakui majoriti kanak-kanak di Malaysia adalah terdiri daripada mereka yang kreatif, tetapi takut untuk mencuba melakukannya. Dalam situasi ini katanya, penyelia dan pengasuh TASKA berperanan besar dalam membentuk dan merangsang minda kreatif kanak-kanak ini melalui aktiviti seni dan kraf yang dijalankan.
Menurutnya, suasana persekitaran yang selesa dan penyediaan bahan yang sesuai berupaya menarik minat kanak-kanak seawal usia setahun hingga empat tahun untuk terus meneroka dan mencuba sesuatu yang kreatif di samping tidak mengabaikan keselamatan persekitaran di dalam TASKA.
Bengkel yang berlangsung selama dua hari setengah pada 23 hingga 25 April lalu di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor itu adalah lanjutan daripada Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) yang berlangsung selama tiga minggu di Dewan Serbaguna ANGKASA, iaitu membabitkan seramai 26 peserta yang terdiri daripada pengusaha, penyelia dan pengasuh dari koperasi terpilih seluruh semenanjung.
Dalam bengkel berkenaan, para peserta dilatih merancang aktiviti seni dan kraf mengikut perkembangan kanak-kanak di bawah umur empat tahun, menyediakan aktiviti dan rancangan mengajar serta menyedia serta merancang sudut kraf untuk kanak-kanak TASKA.

(update 10/01/2011)